Selasa, 29 April 2008

Sakit Itu Ujian

Posted on Thursday, April 17 @ 22:25:29 MYT by SongkokPutih


Oleh HanaHumaira

Petang semalam saya perlu hadir ke mesyuarat bersempena satu program yang akan diadakan pada hari ini (khamis) sampai petang sabtu. Tengah bersiap-siap tiba-tiba kawan lama (saya suka istilahkan evergreen sebab kami masih bersama hampir 13 tahun sampai kini, temapt kerja pun dekat) menghantar mesej mengajak saya menemani beliau menziarahi Tok Saudaranya yang dimasukkan ke HSNZ beberapa hari yang lalu. Serba-salah pula rasanya, mesyuarat dah diberitahu sebelum ini. Ziarah orang sakit juga satu tuntutan, bincang dengan sahabiah, alhamdulillah mereka memahami, jadi penemanlah saya petang itu.

Pukul 6 lebih kami sampai di HSNZ.Waktu petang pelawatnya memang lebih ramai.Almaklum selepas waktu pejabat. Pelawat yang menunggu lif bersesak-sesak.Akhirnya saya dan kawan saya itu mengambil keputusan untuk 'mendaki' sampai ke tingkat 7. Boleh ke? Kawan saya itu bertanya. Dia tahu saya ada masalah kesihatan. InsyaALLAH, saya kuatkan hati, DIA yang berkuasa ke atas saya, mindset pun kena setting elok-elok; TIADA YANG MUSTAHIL KECUALI ALLAH.

Alhamdulillah berjaya juga saya 'mendaki' sampai ke puncak. Ingatkan ada orang yang kena masuk hospital, nasib baik ok je.Semput tu tak usah cakaplah, tapi alhamdulillah. Kalau tiap-tiap hari macam ni boleh kurus agaknya, detik hati kecil saya. Wad yang kami tuju tu, kelas pertama mungkin. Sampai sahaja, pesakit iaitu Tok Saudara (perempuan) kawan saya sedang makan dengan dibantu oleh kakaknya. Rupa-rupanya Tok Cik (panggilan kawan saya kepada beliau) menghadapi masalah penglihatan sejak 2-3 hari yang lalu.Sebab itulah perlu ada orang yang menemani beliau untuk menguruskan urusan sehari-hari disitu.

Terlihat di tangan Tok Cik itu banyak kesan parut, kata kawan saya Tok Ciknya ini menghidap penyakit berpakej. Antaranya sakit buah pinggang, jantung juga kencing manis. Parut itu mungkin disebabkan oleh Dialisis yang beliau jalani sebelum ini. Tak lama kami berada disitu, datang beberapa orang wanita yang agak berusia (mungkin juga jiran sekampung Tok Sedara kawanku ini) melawat dan bertanya khabar). Suasana agak ceria kerana yang datang melawat cuba menghiburkan Tok Saudara kawan saya itu.Kami berada di situ kira-kira 30 minit kerana kawan saya ada kelas pada malamnya.Kami turun menggunakan lif. Kasihan juga pada kawan saya kerana dia belum makan sejak tengahari lagi.

Sejenak saya terfikir, betapa ALLAH cukup sayang pada hambaNYA. Dia memberi ujian kesenangan pada hambaNYA sebagai cara menyuruh kita bersyukur dan menggunakan nikmat itu sebaik-baiknya. Tok Cik kawan saya itu diuji ALLAH dengan penglihatan beliau diambil (mungkin sekejap). Doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan keatas beliau bagi 'mengangkat' saraf mata yang menghadapi masalah tersebut. Tetapi Tok Cik kurang bersetuju dan ianya ditangguhkan buat sementara waktu. Manakala ujian kesusahan pula untuk mengurniakan kita pahala SABAR agar ianya menjadi pelaburan kita di akhirat nanti.Persoalannya sejauh mana kita mampu sabar apabila diuji kesusahan dan sejauh mana kita sedar bahawa kesenangan juga merupakan ujian dari ALLAH? Tertanya-tanya saya pada diri sendiri, sabarkah saya dengan segala bentuk ujian selama ini? redhakah saya dengan apa yang ditentukan ALLAH?

Benarlah menziarahi orang sakit ini kadang-kadang mampu membuat kita bermuhasabah tentang diri kita juga tentang persoalan kematian. Terlintas di benak saya andaikata ALLAH menguji saya dengan masalah penglihatan sepertimana yang dialami oleh Tok Cik, mampukah saya membaca kalam ALLAH sebaik mungkin? Setakat ini hanya kebanyakan surah lazim yang saya ingat, itupun kadang-kadang perlu diulang banyak kali. Doa-doa yang dihafal juga tak sebanyak mana. Mungkin juga yang baiknya saya tidak melihat perkara-perkara yang haram.Tapi mampukah saya beramal dalam masa yang sama? Syukur kerana ALLAH mendatangkan detik pada hati saya untuk merenung kembali segala yang diberiNYA. Semoga ALLAH memberi kekuatan kepada saya dan juga saudara-saudara seagama saya dalam mendepani ujian susah atau senang tanpa perlu menggadai maruah sebagai seorang Muslim yang sejati.ALLAHlah sebaik-baik penolong pada hambaNYA.Wallahualam.

Hadith :

Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.”

(Muslim)

Huraian

Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah

Tidak ada komentar: