Selasa, 29 April 2008

Majlis Peguam, DAP Sokong Isytihar Islam

KUALA LUMPUR 11 April - Majlis Peguam menyokong langkah kerajaan memperkenalkan peraturan mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka.

Presidennya, Ambiga Sreenevasan berkata, langkah yang akan diperkenalkan oleh kerajaan itu boleh mengelakkan berlakunya masalah di kalangan keluarga terdekat.
''Sudah tentu apabila Islamnya seseorang itu ia akan memberi kesan, khususnya dalam bentuk perundangan kepada semua ahli keluarga terdekat seperti isteri, ibu bapa dan anak.

''Oleh itu, dalam perkara ini Majlis Peguam meminta sebelum berlakunya pengislaman seseorang Jabatan Agama berpuas hati bahawa pengislaman itu telah dimaklumkan kepada semua ahli keluarganya,'' katanya lagi.

Antara kesan perundangan yang timbul jika berlaku pengislaman saudara baru, Ambiga berkata, adalah seperti perceraian, agama anak-anak, penjagaan anak-anak dan pembahagian aset atau harta.

Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam kenyataan akhbarnya turut menyokong langkah yang diputuskan oleh kerajaan itu.
Beliau berkata, dengan adanya peraturan tersebut ia boleh mengelakkan salah faham terutama jika berlaku kematian.
''Namun begitu pada pandangan saya sepatutnya tidak ada halangan untuk mereka kembali pada agama asal (murtad),'' katanya lagi.

Tidak ada komentar: