Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES
SHAH ALAM 6 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh seorang suami dalam usaha mendapatkan pengisytiharan bahawa perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka terhadap isterinya tidak sah undang-undang.
Hakim Datuk Su Geok Yiam ketika menolak permohonan yang dikemukakan oleh V. Suresh menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan tersebut memandangkan Siti Fatimah Abdul Karim kini tidak lagi berada dalam tahanan.
Pemohon diwakili oleh peguam Karpal Singh manakala Muhamad Haniff Khatri Abdulla mewakili responden-responden.
Suresh, 29, mengemukakan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka bagi menahan isterinya, Siti Fatimah Abdul Karim di Pusat Pemurnian Akidah, Baitul Aman di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bharu, Batang Kali, Hulu Selangor, sebagai tidak sah dan terbatal.
Pemohon menamakan Penguasa, pusat tersebut dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam notis usul yang difailkan dan afidavit yang diikrarkan, pemohon mendakwa bahawa dia dan isterinya telah berkahwin pada 10 Mac 2004 menerusi upacara tradisional Hindu di sebuah kuil Hindu di Bandar Melaka.
Pemohon mendakwa, sejak sebelum dan sepanjang perkahwinan mereka, isterinya itu menganut agama Hindu dan menggunakan nama M. Revathi.
Hasil perkahwinan itu mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan, Diviya Dharhini yang dilahirkan pada 19 Disember 2005.
Responden pula dalam afidavit menyatakan bahawa Siti Fatimah, 29, telah dibesarkan mengikut ajaran Islam oleh ibu bapa kandung. Dia (Siti Fatimah) tidak pulang ke rumah sekitar Mei 2004 dan telah melangsungkan perkahwinan dengan Suresh tanpa mendapat persetujuan daripada bapa kandungnya.
Pada 23 Jun 2006, Siti Fatimah telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka untuk mengesahkan status agamanya dan mengatakan bahawa dia tidak lagi menganut agama Islam.
Mahkamah tersebut bagaimanapun telah mengeluarkan perintah untuk menahan Siti Fatimah selama 100 hari iaitu mulai 8 Januari hingga 18 April lalu.
Perintah itu telah disahkan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang mempunyai bidang kuasa ke atas responden.
Seterusnya, mahkamah yang sama (di Melaka), kemudiannya telah melanjutkan tempoh tahanan Siti Fatimah selama 80 hari lagi.
Responden tersebut turut menyatakan Siti Fatimah bukan isteri yang sah kepada pemohon.
Pemohon juga telah gagal mendaftarkan perkahwinan mereka disebabkan Siti Fatimah merupakan seorang yang beragama Islam sejak dilahirkan.
Murtad: Iktiraf kuasa Mahkamah Syariah
PUTRAJAYA 13 Julai – Rakyat negara ini perlu mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kes permohonan untuk keluar daripada agama Islam bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertikaian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.
Beliau berkata, masalah timbul apabila sesetengah pihak tidak mengikut prosedur yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebaliknya terus merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Sivil atau Mahkamah Rayuan.
“Kuasa untuk mendengar kes keluar daripada Islam adalah Mahkamah Syariah tetapi kadang kala mereka terus pergi ke Mahkamah Sivil atau terus membuat rayuan, jadi mana ada jalan (untuk selesai) sedangkan sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kuasa Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minta supaya kita mendengar masalah mereka, itu maksudnya ialah Mahkamah Syariah. Bagi kita pegawai-pegawai Jabatan Agama juga bersedia untuk mendengar masalah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Pada majlis itu Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, 58, yang bersara mulai 16 Julai ini menyerahkan Nota Serah Tugas kepada penggantinya, Datuk Wan Muhamad Sheikh Abdul Aziz.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)

Tidak ada komentar:
Posting Komentar