Selasa, 29 April 2008

Permudah Urusan Peluk Islam - Surat 2

SAYA terpanggil untuk memberi komen terhadap isu perisytiharan apabila masuk Islam. Dalam saya memahami niat baik kerajaan dalam menyatakan ketetapan berkaitan hal ini, saya merasakan keputusan tersebut adalah ‘tidak mendapat nasihat yang sewajarnya’.
Bagi mereka yang melibatkan diri di dalam bidang dakwah non-Muslim ini, semuanya menyedari bahawa halangan terbesar seseorang untuk memeluk agama Islam adalah keluarga. Terdapat banyak kes di mana keluarga menggunakan pelbagai cara seperti pemulauan, menidakkan bantuan kewangan selain keganasan fizikal untuk menghalang mana-mana ahli keluarga untuk memeluk agama Islam.
Halangan ini sangatlah berat sehingga membantutkan hasrat ramai orang untuk memeluk Islam, atau yang sudah Islam, terpaksa murtad kerana tidak tahan dengan tekanan yang diterima. Terdapat banyak kes yang menyayatkan hati dapat diceritakan tentang kepayahan yang terpaksa ditempuh oleh mualaf bila mana keluarga mereka mengetahui tentang keislaman mereka.

Kita tidaklah menyalahkan pengikut agama lain yang bertindak sedemikian, kerana jika situasi sebaliknya berlaku, yakni orang Islam ingin murtad, keluarga kita juga mungkin akan melakukan apa sahaja tindakan yang dirasakan mampu untuk menghalang anak mereka daripada murtad.

Saya berpendapat bahawa memaklumkan kepada keluarga sewajar bersifat ‘optional’ yakni mualaf tersebut bebas untuk memilih untuk memaklumkan kepada keluarganya atau tidak.

Jika kerajaan merasakan keperluan untuk mereka memaklumkan kepada keluarga, seelok-eloknya dilakukan selepas individu itu memeluk agama Islam, bukan sebelum.
Percayalah, tidak ramai keluarga akan duduk diam dan membenarkan begitu sahaja sekiranya ada ahli keluarga memaklumkan ingin memeluk Islam.
Keputusan ini akan menyukarkan ramai orang untuk memeluk agama Islam secara rasmi, dan keputusan ini juga akan menyebabkan ramai tidak akan berani untuk mendaftarkan keislaman mereka.

Saya merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan ini dan mengambil kira pandangan badan-badan bukan kerajaan yang menjaga hal ehwal mualaf ini, sebelum sesuatu keputusan berkaitan mualaf dibuat.
Saya percaya, jika kerajaan bertanya pendapat semua yang berpengalaman memeluk Islam, nescaya kerajaan akan mendapati mereka ini tidak bersetuju dengan keputusan itu.

AZMIL ABRAR
Kuala Lumpur

Tidak ada komentar: