Senin, 05 Mei 2008

BN Tidak Akan Berubah, Zaid Lebih Baik Diam - Hanipa Maidin

Tue | Apr 01, 08 | 4:12:32 pm MYT



KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' seri Najib Razak berhubung isu kehakiman yang dibangkitkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim melambangkan kabinet kerajaan BN mempunyai masalah untuk menerima saranan yang dikemukakan.

Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS, Hanipa Maidin menempelak kenyataan yang dibuat Zaid Ibrahim berhubung beberapa cadangan kepada sistem kehakiman dengan bertujuan untuk membersihkan imej badan tersebut yang masih terbelenggu kerana ianya hanya membuang masa.

"Saya katakan sedemikian kerana beliau bukan menteri kabinet dan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakannya," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambahnya, Zaid seharusnya mengetahui reaksi yang bakal diterima setelah mengusulkan cadangan-cadangan tersebut kepada kabinet.

"Namun, belumpun ianya dibincangkan di peringkat kabinet, kelihatan seperti tiada sokongan daripada beberapa anggota kabinet yang memperlihatkan peluang untuk ianya dilaksanakan adalah amat tipis.

"Jadi, sejak awal lagi Zaid tidak sepatutnya menerima jawatan sebagai menteri kerana ianya tidak akan memberikan apa-apa sumbangan untuk merubah sistem sedia ada," katanya.

Selain itu ujarnya Zaid sebagai menteri perlu lebih mengetahui bahawa beliau tidak boleh mengeluarkan cadangan berbentuk usul secara peribadi yang diumumkan kepada media.

"Saya rasa cukuplah dengan idea peribadi beliau sebelum ini kerana ianya ternyata sia-sia dan membuang masa.

"Tetapi sekiranya beliau merasakan bahawa kerajaan pusat tidak akan menerima pandangan serta segala usul yang disuarakannya walau sebaik manapun idea tersebut, beliau tidak patut terima jawatan itu awal-awal lagi.

Justeru tambahnya lagi, tidak hairanlah ramai wakil rakyat yang ditawarkan jawatan sebagai menteri atau pun timbalan menolak jawatan tersebut lantaran tidak yakin dengan perubahan yang bakal dilaksanakan.

"Kita meragui perubahan yang ingin dibuat oleh kerajaan BN, kerana BN seolah-olah tidak mahu berubah. Ia sekadar omongan kosong yang tidak bermanafaat kepada rakyat," tegasnya.

Hanipa berpandangan, dengan reaksi Najib dan beberapa menteri kabinet ujarnya, ternyata cadangan Zaid tersebut telah diketahui jawapannya.

Sungguhpun begitu, Hanipa menyokong cadangan supaya kerajaan meminta maaf kepada mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dipecat pada tahun 1987.

"Kita setuju tetapi tidak cukup dengan permohonan maaf semata-mata. Ianya harus dibicarakan semula bagi mengembalikan semula hak-hak beliau seperti pencen dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, peguam terkenal, Pawancheek Marican pula berpendapat penyelesaian kes Tun Salleh Abbas adalah perlu melalui proses penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mengenal pasti kes tersebut seterusnya memutuskan tindakan yang akan dilaksanakan.

"Saya tidak pasti sama ada pihak peguam negara akan mengambil tindakan ke atas Tun Mahathir jika terbukti bersalah setelah dibicarakan," katanya.

Jelasnya, jika ingin meminta Tun Dr Mahathir meminta maaf, ia perlukan fakta untuk membuktikn kesalahan beliau.

"Ia melibatkan pelbagai proses asas, suruhanjaya tersebut akan memutuskan siapa yang salah atau pun benar di samping sokongan fakta untuk membuktikan kesahihannya," katanya lagi.

cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim agar pihak kerajaan memohon maaf kepada mantan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas berhubung krisis badan kehakiman menerima pelbagai reaksi pemimpin negara.

Dalam satu kenyataan media, Najib berkata cadangan Zaid Ibrahim supaya kerajaan memohon maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas berhubung krisis badan kehakiman pada 1988 bersifat peribadi.

Pada 22 Mac lalu, Zaid, yang baru lima hari dilantik sebagai menteri kabinet bertanggungjawab bagi badan kehakiman, mencadangkan agar kerajaan meminta maaf kepada mereka yang dikatakan menjadi mangsa dalam krisis badan kehakiman pada 1988 yang membawa kepada pemecatan Salleh dan lima hakim Mahkamah Agung termasuk Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah.

Zaid dipetik sebagai berkata cadangan itu selaras dengan usaha untuk kerajaan membuat satu perubahan dalam badan kehakiman bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Zaid supaya tidak membuat kenyataan terbuka berhubung perkara yang belum diputuskan oleh kabinet bagi menjaga imej dan integriti kerajaan.

Muhyiddin juga dipetik sebagai berkata dalam beberapa isu tertentu seperti penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan merubah sistem kehakiman umpamanya, Zaid tidak seharusnya mencampur aduk pandangan peribadi dengan keputusan kerajaan kerana ia boleh mencetuskan konflik. - mns

Tidak ada komentar: